fbpx
May 13, 2020

Lee Bee ‘suara’ OKU pekak, bisu

TAN Lee Bee, Jurubahasa Isyarat yang menjalankan kerja sebagai penyampai menggunakan bahasa isyarat. FOTO NSTP

SELAIN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang muncul untuk menyampaikan perutusan khas di kaca televisyen, wajah ini juga sering ‘menemani’ beliau di bahagian bawah sudut kanan skrin sebagai jurubahasa isyarat.

Itulah Tan Lee Bee yang turut kerap muncul dalam siaran berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi segmen Nasional 8.

Meskipun hanya muncul di sudut kanan televisyen, peranannya amat penting dalam memastikan golongan orang kurang upaya (OKU) seperti pekak dan bisu memahami mesej yang disampaikan serta perkembangan semasa lain.

Berkhidmat lebih 25 tahun di RTM, Lee Bee memulakan kerjayanya menerusi program Selamat Pagi Malaysia (SPM) pada 1986.

“SPM adalah program TV pertama di negara ini yang bersiaran pada awal pagi dan menteri penerangan pada waktu itu mahukan ada jurubahasa berita ringkas yang diselitkan bagi keperluan golongan pekak dan bisu menonton serta memahami isi kandungannya,” katanya.

Lee Bee pada waktu itu masih mengajar di Sekolah Kanak-Kanak Pekak, Selangor.

Dia mengajar selama 17 tahun sejak 1980.

SPM pula menjadi titik mulanya terbabit dalam dunia penyiaran.

Pada 1988, selepas menghabiskan SPM, Lee Bee mendapat tajaan biasiswa daripada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan Orang Pekak di Universiti Tennessee, Amerika Syarikat selama setahun sebelum pulang ke tanah air dan kembali mengajar.

Sepanjang menyambung pengajian, Lee Bee didedahkan dengan banyak kemahiran berbahasa isyarat yang mana ketika itu, hanya Lee Bee saja sempurna dan rakan-rakan sekuliah adalah OKU.

Bermula pada 1995, dia kembali berkhidmat di RTM sehingga ke hari ini melalui program Nasional 8 sebagai jurubahasa isyarat sepenuh masa.

“Berbeza dengan pembaca berita yang hanya membaca teks berita, saya perlu memahami dan menterjemahkan ayat ke dalam bahasa yang mudah diterima oleh golongan OKU pekak.

“Gerak tangan, mimik muka dan bahasa badan perlulah seiring dengan apa yang dibacakan serta perlu pantas berfikir untuk memenuhi tahap Bahasa Isyarat Malaysia (BIM),” tambahnya.

Selain RTM, Lee Bee juga menaburkan khidmatnya di mahkamah serta syarikat-syarikat korporat yang mempunyai pekerja OKU bagi tujuan penerangan, mesyuarat dan taklimat.

Pengalaman di mahkamah menurutnya lebih mencabar kerana perlu berdepan dengan pelbagai situasi kes dan perlu berlakon untuk menyampaikan maksud.

“Ada kalanya kes berlarutan selama tiga hari maka saya perlu bertugas mengikut keperluan yang ditetapkan oleh peguam dan hakim,” katanya yang bercita-cita mahu menjadi anggota polis.

TAN Lee Bee, Jurubahasa Isyarat yang menjalankan kerja sebagai penyampai menggunakan bahasa isyarat. FOTO NSTP

TAN Lee Bee, Jurubahasa Isyarat yang menjalankan kerja sebagai penyampai menggunakan bahasa isyarat. FOTO NSTP

Meskipun kini menginjak ke usia 58 tahun, namun personalitinya yang sentiasa ceria dan aktif membolehkannya terus menabur bakti dan memberi aura positif kepada yang lain.

Lee Bee juga tidak menyangka ramai yang mengenalinya malah ada yang mengajaknya bergambar ketika dia berjalan-jalan atau beriadah.

Selain mudah mesra dan disenangi rakan sekerja, Lee Bee juga fasih berbahasa Malaysia kerana banyak bergaul dengan masyarakat Melayu di kampung halamannya di Segamat, Johor.

“Saya berpendapat, setiap stesen televisyen dapat menyediakan sari kata dan jurubahasa isyarat untuk program berita supaya lebih ramai golongan OKU memahami isi kandungan program.

“Minat saya yang mendalam dalam bidang ini diterjemahkan melalui kualiti kerja dan itulah kunci kejayaan dalam apa juga lapangan yang kita ceburi selain fokus, komited dan berdisiplin,” terangnya.

Sumber : Lizam Ridzuan

https://www.hmetro.com.my/utama/2020/04/565477/lee-bee-suara-oku-pekak-bisu-metrotv?fbclid=IwAR0QBMi8QEwlBHzpdhRTLUMEM31aiTL7co6mfDjMVu90RAASSn_kcizGfq4

Leave a Reply

%d bloggers like this: