fbpx
July 28, 2020

Agong lawat Zoo Negara, saksikan pertunjukan haiwan

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli melawat Zoo Negara hari ini.

Seri Paduka yang berangkat tiba di lokasi itu pada 9.40 pagi, berkenan meluangkan masa lebih dua jam bagi menyaksikan pertunjukan haiwan serta melihat persekitaran kawasan pameran Zoo Negara.

Ketibaan Al-Sultan Abdullah disambut Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Presiden Zoo Negara Datuk Sr Zaharin Md Arif.

Al-Sultan Abdullah memulakan lawatan dengan menyaksikan pertunjukan haiwan di Show Amphitheatre diikuti majlis penyampaian sumbangan replika cek daripada beberapa syarikat tempatan kepada Zoo Negara.

Seri Paduka turut berkenan beramah mesra dan menyantuni wakil syarikat penaja tersebut iaitu Foodpanda Sdn Bhd, 99 Speed Mart Sdn Bhd, Sime Darby Oils Sdn Bhd dan OCBC Al-Amin Bank Berhad.

Bagi tujuan membantu konservasi haiwan di Zoo Negara, Foodpanda Sdn Bhd menaja RM200,000 untuk panda gergasi; 99 Speed Mart Sdn Bhd (RM123,084) untuk dua badak air; Sime Darby Oils Sdn Bhd (RM65,000) untuk dua Orang Utan Sumatera dan Harimau Malaya, serta OCBC Al-Amin Bank Berhad menaja RM40,000 bagi Tapir Malaya.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan atas sumbangan syarikat-syarikat berkenaan dan menyeru syarikat tempatan lain khususnya milik dan berkaitan kerajaan serta multinasional supaya membantu Zoo Negara menampung perbelanjaan dan keperluan hariannya.

Usai majlis tersebut, Al-Sultan Abdullah berkenan melawat beberapa kawasan pameran dan memberi makanan kepada haiwan seperti burung upeh (stork) dan zirafah.

Menaiki tram mengunjungi kawasan pameran, Seri Paduka turut berkenan melihat haiwan lain seperti rusa, singa, Harimau Malaya dan Orang Utan.

Sebelum mengakhiri lawatan, Seri Paduka ke Pusat Konservasi Giant Panda dan memberi makan kepada dua ekor beruang panda gergasi iaitu Fu Wa dan Feng Yi yang dipinjamkan oleh kerajaan China pada 2014 menerusi Program Perjanjian Bersama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi.

Al-Sultan Abdullah turut menyantuni pekerja Zoo Negara di Kedai Gambar Sdn Bhd Wildlife Superstars.

Dibuka pada umum sejak November 1963, Zoo Negara diuruskan oleh Malaysian Zoological Society dan menampung kira-kira 5,137 spesimen daripada 476 spesies mamalia, burung, reptilia, amfibia dan ikan di kawasan seluas 110 hektar.

Melalui harga tiket RM45 untuk setiap pengunjung dewasa dan RM18 bagi kanak-kanak berumur tiga hingga 12 tahun, Zoo Negara menerima anggaran 1,500 pengunjung pada hujung minggu serta cuti umum dan 500 pengunjung pada hari biasa.

Zoo Negara pernah mencatat lebih satu juta pengunjung dalam setahun pada 1986.

Sementara itu, Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly Ahmat Lana berkata, Zoo Negara menampung keperluan harian haiwan merangkumi makanan, ubat-ubatan, penyelenggaraan dan gaji pekerja yang menelan kos RM1.2 juta setiap bulan, melalui pelbagai sumber kewangan termasuk tajaan daripada pihak tertentu. – Bernama

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/94361/BERITA/Nasional/Agong-lawat-Zoo-Negara-saksikan-pertunjukan-haiwan

Leave a Reply

%d bloggers like this: