fbpx
July 30, 2020

Ramai Daftar Perniagaan Berbanding Gulung Tikar.

Lebih banyak perniagaan baharu didaftarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 1 April lalu, berbanding perniagaan gulung tikar, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid.

Beliau berkata, berdasarkan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berakhir 19 Julai lalu, 82,555 perniagaan baharu didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.

Manakala, katanya, SSM hanya menerima 4,542 permohonan penamatan perniagaan.

“Statistik itu menunjukkan jumlah perniagaan baharu yang didaftarkan jauh melebihi jumlah permohonan penutupan perniagaan iaitu sebanyak 95 peratus bagi tempoh yang dimaksudkan itu,” katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Tan Kok Wai (PH-Cheras) yang ingin tahu jumlah perniagaan yang menggulung perniagaan pada April, Mei, Jun dan Julai tahun ini, serta jumlah perniagaan baharu yang didaftarkan di dalam tempoh sama.

Dalam pada itu, Rosol berkata, peningkatan pendaftaran syarikat dalam tempoh itu kebanyakannya daripada sektor e-dagang atau berniaga secara dalam talian.

“Kerana ketika itu kedai fizikal tidak dibenarkan beroperasi, jadi e-dagang menjadi konsep perniagaan alternatif yang popular dalam kalangan peniaga ini,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai jenis sektor perniagaan baharu yang didaftarkan sepanjang tempoh itu.

 

 

source: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/07/605035/ramai-daftar-perniagaan-berbanding-gulung-tikar-metrotv

Leave a Reply

%d bloggers like this: